Sign In
Text Size: A A A
|
                          



Manage PermissionsManage Permissions

09-Dec-2016 : EIDPMO responds to Brunei fm Facebook post

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri (EIDPMO) sukacita ingin merujuk kepada post di Facebook page Brunei fm pada kira-kira pukul 6 petang pada 7 Disember 2016 mengenai dengan isu-isu pekerjaan di sektor minyak dan gas serta Pesta Kerjaya. Terlebih dahulu, pihak EIDPMO berterima kasih ke atas penulis post berkenaan kerana membangkitkan perkara-perkara ini.

 

Pihak EIDPMO ingin menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh penulis seperti berikut:

 

(i) Isu pembuangan kerja anak tempatan di sektor minyak dan gas:

 

Bagi sektor minyak dan gas, mana-mana syarikat yang merancang untuk melepaskan pekerja anak tempatan adalah dikehendaki bagi memaklumkan dan membincangkan bersama EIDPMO lebih awal daripada tarikh pelepasan pekerja terbabit, termasuklah pelepasan disebabkan oleh penamatan kontrak syarikat.

 

Ini bagi memastikan pekerja tempatan hanya dilepaskan atas alasan yang munasabah sahaja seperti disebabkan oleh tamatnya kontrak syarikat dan syarikat tidak mempunyai aktiviti lanjutan, masalah disiplin dan prestasi. EIDPMO sentiasa berusaha dalam membantu pekerja anak tempatan yang akan dilepaskan dengan mencari pekerjaan alternatif selagi mana mereka tidak mempunyai masalah disiplin dan prestasi. Melalui proses ini, sebanyak 338 (57%) pekerja anak tempatan telah dilepaskan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas daripada perancangan asal syarikat-syarikat terbabit sebanyak 590 perlepasan pekerja anak tempatan. Daripada jumlah 338 pekerja anak tempatan yang dilepaskan, seramai 173 (51%) pekerja anak tempatan telah berjaya diserapkan di syarikat-syarikat minyak dan gas yang lain diatas usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh EIDPMO. Usaha-usaha ini termasuklah pemantauan pas kerja pekerja asing, yang perlu disokong oleh EIDPMO sebelum ianya diluluskan oleh Jabatan Buruh. Bagi sektor minyak dan gas, mana-mana syarikat yang tidak mematuhi syarat-syarat kontrak bagi pengambilan perkerja anak-anak tempatan, permit bagi pengambilan perkerja luar mereka tidak akan diluluskan.

 

EIDPMO juga ingin memaklumkan pada ketika ini, terdapat sebanyak 16,826 pekerja anak tempatan bekerja di sektor minyak dan gas. Disamping itu, Garispandu Gaji Berpatutan (Reasonable Wage Guideline) telah diperkenalkan sejak tahun 2014 dan menjadi salah satu kemestian di dalam kontrak-kontrak di sektor minyak dan gas, iaitu bagi gaji minima sebanyak $700 bagi pekerja teknikal onshore dan $1000 bagi pekerja teknikal dan bukan teknikal offshore. Sementara itu, satu kontrak baru telah diberikan di sektor minyak dan gas yang akan menjana sekurang-kurangnya 550 pekerjaan baru bagi anak tempatan bagi tempuh 5 tahun akan datang.

 

Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (EIDPMO) amat mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuklah penulis, untuk berjumpa dengan pegawai-pegawai di Jabatan ini dalam sama-sama membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut agar setiap isu-isu yang berkaitan akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan efektif terutama sekali dalam menangani isu syarikat-syarikat yang tidak menunjukkan sokong untuk mengambil perkerja anak tempatan. EIDPMO juga akan menjaminkan bahawa  identiti pemberi-pemberi maklumat akan dilindungi. Awda bolehlah menghubungi kami untuk membuat temu janji melalui Hotline LBD kami 673 729 9111 atau melalui email mppu@jpm.gov.bn.

 

(ii) Syarikat-syarikat "dipaksa" untuk menyertai Job Fair:

 

Pihak EIDPMO ingin menjelaskan bahawa syarikat-syarikat yang menyertai Pesta Kerjaya tersebut disahkan mempunyai kekosongan kerja, yang mana ianya adalah salah satu syarat penyertaan di Pesta Kerjaya tersebut. Syarikat-syarikat terbabit tidak dipaksa untuk menyertai Pesta Kerjaya ini.


Untuk makluman penulis jua, Pesta Kerjaya 2016 ini telah membuka sebanyak 2,565 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh lebih 200 buah syarikat-syarikat yang turut serta dari pelbagai sektor. Selain dari itu, terdapat juga sebanyak 2,279 peluang pekerjaan bagi tahun 2017 & 2018 dari projek-projek pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment). 

 

(iii) Pendaftaran pencari kerja dan hasil-hasil Pesta Kerjaya sebelum ini


Pendaftaran pencari kerja anak tempatan ke dalam sistem Pusat Kerjaya Brunei atau Job Centre Brunei (JCB) adalah antara lain bagi membolehkan proses pemadanan kerja diantara pencari kerja anak tempatan dan kekosongan yang diiklankan oleh syarikat-syarikat, dan bukan sekadar untuk mencatat jumlah pengangguran dan pencari kerja sahaja. Di samping itu, ianya juga menyediakan peluang kepada pencari kerja untuk melihat peluang pekerjaan dalam pelbagai industri dan untuk mendaftar mana-mana program yang boleh meningkatan kemahiran mereka, yang mana akan dapat meningkatkan peluang pekerjaan mereka. Bagi syarikat-syarikat pula, mereka akan dapat melihat data-data pencari kerja, termasuklah CV yang dimuat naik di Job Centre Brunei, pada bila-bila masa diperlukan.  Pusat ini boleh diakses 24/7 dalam laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn.


Proses ini juga memberikan "real time" data bagi jumlah pencari kerja tempatan yang akan membolehkan pihak Kerajaan untuk merancang tindakan bersepadu  dalam mengatasi isu pengangguran negara.


Dalam Pesta Kerjaya sebelumnya, EIDPMO hanya mengundang syarikat-syarikat dari sektor minyak dan gas yang mana terakhir sekali diadakan pada bulan November 2014. Sebanyak 2,569 pengambilan pekerja anak tempatan telah dicatatkan susulan Pesta Kerjaya tersebut sepanjang tahun 2015.  Manakala, data dari Tabung Amanah Pekerjaan (TAP) pula menunjukkan sebanyak 6,800 pendaftaran baru pekerja anak tempatan sepanjang tahun 2015 di dalam kesemua sektor, termasuk sektor minyak dan gas.


Sementara itu, setakat bulan September 2016, sebanyak 4,335 pendaftaran baru pekerja anak tempatan telah dicatatkan kedalam TAP. Manakala, Pesta Kerjaya 2016 yang diadakan pada 27 hingga 29 November 2016, setakat ini telah mencatatkan pengambilan sebanyak 59 orang pekerja anak tempatan dan angka ini dijangka akan meningkat setelah proses temuduga selesai dilaksanakan oleh syarikat-syarikat yang menawarkan perkerjaan pada pesta kerjaya tersebut.


Dengan semua usaha seperti yang diterangkan di atas, Kerajaan mengakui bahawa banyak cabaran-cabaran yang diharungi adalah sangat mencabar dan oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan dan ianya memerlukan kerjasama di antara perusahaan tempatan dan pencari pekerja itu sendiri. Dengan itu, Kerajaan sangat mengambil berat isu pengangguran ini dan telahpun merancang inisiatif-inisiatif yang akan meningkatkan marketability dan permintaan tenaga tempatan dengan program-program upskilling dan juga intervention-intervention dari masa ke semasa secara berterusan. Ini termasuk usaha-usaha bersepadu agensi-agensi kerajaan untuk memperkembangkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk juga usaha penarikan pelabur-pelabur asing yang akan menjana peluang-peluang pekerjaan bagi anak tempatan, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala. 


Dengan itu, pihak EIDPMO ingin mensyorkan agar perkara-perkara yang berkaitan dengan perkara ini untuk dibawa bincang secara constructive agar langkah-langkah kehadapan dapat dirancang sebagai whole-of-nation approach dan pandangan-pandangan tersebut harus diketengahkan bagi membantu negara dalam mengurangkan tahap penggangguran di negara ini.


Sehubungan dengan itu, pihak EIDPMO sangat-sangat menggalakkan agar orang awam dapat menghubungi EIDPMO secara direct atau temu janji melalui hotline LBD pada 673 729 9111 ataupun melalui email mppu@jpm.gov.bn agar isu-isu yang boleh menyebabkan misconception keatas usaha kerajaan dapat dihindari dan agar menunjukkan perpaduan yang utuh di antara lapisan rakyat di negara ini. Semestinya semua pihak dan lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam tidak berkeinginan untuk mengeluarkan mana-mana kenyataan di media sosial sewenang-wenangnya sahaja kerana perkara ini adalah merupakan puncanya perpecahan kepada perpaduan di kalangan masyarakat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dimana ianya juga adalah kepentingan Negara bagi memastikan rakyat Negara sentiasa hidup dalam keadaan aman dan teratur selaras dengan ajaran agama Islam. Ke arah ini, pihak EIDPMO dengan ini memaklumkan apa jua yang dilaporkan adalah diambil serius dan akan menjaga identiti pihak-pihak yang melapor tersebut.

Attachments